Pantun Pengacara Majlis (Pembuka Bicara Hingga Penutup)

pantun pengacara majlis

Di setiap majlis, peranan seorang pengacara majlis sangat penting. Mereka adalah individu yang bertanggungjawab untuk menggerakkan majlis dari awal hingga akhir, memastikan proses berjalan lancar, dan memastikan semua yang hadir berasa dihormati dan terhibur.

Dalam usaha menjadikan majlis lebih menarik dan istimewa, satu elemen yang mungkin digunakan ialah penggunaan pantun oleh pengacara majlis. Pantun merupakan satu bentuk seni dalam kesusasteraan Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada budaya dan tradisi kita.

Ia bukan sahaja berperanan sebagai hiburan, malah mempunyai nilai dalam menyampaikan mesej dan mengeratkan hubungan antara penonton dan pengacara.

Dengan menggunakan pantun, pengacara majlis berpeluang untuk mengukuhkan suasana positif dalam majlis tersebut, mengingatkan penonton tentang objektif dan maksud di sebalik majlis tersebut, dan mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara semua yang hadir. Pantun adalah senjata hebat untuk membangkitkan emosi, membangkitkan ketawa, dan menjadikan majlis itu lebih bermakna.

Pantun Pengacara Majlis

Disini saya akan kongsikan, koleksi pantun yang anda boleh gunakan semasa menjadi pengacara majlis iaitu daripada pantun pembuka bicara sehingga pantun penutup majlis.

Pantun Pembuka Bicara

pantun pembuka bicara

Mencari timba si anak dara,
Di bawah sarang burung tempua;
Salam sembah pembuka bicara,
Selamat datang untuk semua.

Mega berarak indah berbalam,
Dipuput bayu ke pohon ara;
Pemanis kalam selamat malam,
Awal bismillah pembuka bicara.

Sayang kumbang mencari makan,
Terbang seiring di tepi kali;
Selamat datang kami ucapkan,
Moga diiringi restu Ilahi.

Ke Pekan Kuala membeli bingka,
Sayang pesanan terlupa sudah;
Majlis bermula tirai dibuka,
Dengan alunan madah yang indah.

Assalamualaikum salam sejahtera,
Pembuka kata lidah bicara;
Izinkan saya mulakan acara,
Semoga majlis disambut ceria.

Ulik Mayang nyanyian asli,
Dilagu si gadis merdu sekali;
Terima Kasih sekalung budi,
Sudi datang ke majlis merai.

Melati kuntum tumbuh melata,
Sayang merbah di pohon cemara;
Assalamualaikum mulanya kata,
Saya sembah pembuka bicara.

Kompang bergema pusaka bangsa,
Dipalu oleh si anak muda;
Hadir tuan meriah suasana,
Kami menyambut penuh gembira.

Indah berbalam si awan petang,
Berarak di celah pepohon ara;
Pemanis kalam selamat datang,
Awal bismillah pembuka bicara.

Melayang serindit di atas permatang,
Merbah berkicau di hujung muara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.

Pantun Bacaan Doa

Tetak buluh kajang sepuluh,
Laksana dititing kias ibarat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Anugerah di kecap si anak watan,
Mengangkat senjata bidalan suara;
Menadah tangan memohon keberkatan,
Mendapat restu hidup sejahtera.

Tangan ditadah penuh inayah,
Majlis dibuka penuh rahmatNya;
Mohon keberkatan serta hidayah,
Moga tercerna minda kelas pertama.

Bunga mawar cantik tersemat,
Dipetik gadis di tepi titi;
Doa dibaca memohon Rahmat,
Moga Majlis sentiasa diberkati.

Kalau pergi Tanjung Keramat,
Anak manis jangan diangkat;
Bersama kita memohon rahmat,
Moga majlis mendapat berkat.

Lebat kemiri pohonnya rendah,
Dahan terikat tali perkasa;
Sepuluh jari kami menadah,
Mohon berkat yang Maha Esa.

Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.

Pantun Ucapan

Pergi ke kota beli selasih,
Sayang si dara buat halwa;
Berilah kata simpulan kasih,
Sulamkan mesra satukan jiwa.

Emas tempawan buatmu puteri,
Busana indah buat rupawan;
Sudilah tuan tampilkan diri,
Bersama madah kata aluan.

Sudilah tuan jalan berlapan,
Jalan berlapan di malam kelam;
Sudilah tuan beri ucapan,
Kata aluan pemanis kalam.

Duduk sekawan gadis jelita,
Buat santapan untuk pahlawan;
Tampillah tuan kami meminta,
Madah ucapan kata aluan.

Duduk sekawan si burung unta,
Tepi keramat di waktu malam;
Padamu tuan kami meminta,
Kata azimat penutup kalam.

Pantun Jemput Makan

Kalau tuan pikat cemara,
Buatlah bara bakar selasih;
Sudilah tuan jamu selera,
Hidangan mesra pengikat kasih.

Terbang sekawan si burung merbuk,
Batang selasih di Tanjung Dara;
Padamu tuan kami persembah,
Santapan kasih juadah mesra.

Lebat rumbia di Sungai Kedah,
Sayang senduduk di tepi muara;
Penganan mulia terletak sudah,
Samalah duduk menjamu selera.

Sungguh indah bunga kemboja,
Di bawah atap tepi halaman;
Juadah sudah letak di meja,
Sudilah santap tuan budiman.

Pantun Persembahan Selingan

Sehabis merah daun yang sihat,
Dahan melebar bercerita sakan;
Majlis anugerah mohon berehat,
Persembahan pelajar kita saksikan.

Pakaian dipakai cantik berseri,
Majlis keraian kita semua;
Majlis kita takkan berseri,
Tanpa persembahan multimedia.

Dari Kedah ke Kuala Perlis,
Singgah bersantai di tepi jeti;
Persembahan pembukaan memeriahkan majlis,
Semoga hadirin terhibur di hati.

Pantun Anugerah

Berkebaya batik berwarna merah,
Diserikan dengan permata berlian;
Tibalah masa penyampaian anugerah,
Penerima teruja menunggu giliran.

Warga cemerlang tersenyum manis,
Hadir bersama ibu bapa wibawa;
Sambutan anugerah penyeri majlis,
Sematkan gagah di dalam jiwa.

Terbang tinggi si burung helang,
Berkicau kenari sambil berterbangan;
Insan cemerlang negara terbilang,
Anugerah diberi tanda kecemerlangan.

Ikan sembilang, sepat dan kelah,
Guna bubu biasa di hujung;
Pencapaian cemerlang dapat hadiah,
Petanda ilmu sentiasa dijunjung.

Pantun Penutup Majlis

Akar keladi melilit selasih,
Selasih tumbuh di hujung taman;
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.

Tenang-tenang air di kali,
Tempat mandian putra puteri;
Sempurna sudah majlis dirai,
Salah dan silap harap dimaafi.

Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan;
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.

Dari Kedah ke pekan sari,
Beli suasa di Kota Tinggi;
Selesai sudah tugas diberi,
Di lain masa bersua lagi.

Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita;
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.

Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi;
Salam perpisahan untuk semua,
Dilain masa bersua lagi.

Merdu bertingkah alunan suara,
Kadang tak sedar tersilap kata;
Andai terlanjur patah bicara,
Serendah hati kemaafan dipinta.

Bersyukur kini kami panjatkan,
Majlis anugerah telah disempurnakan;
Sekalung penghargaan kami hulurkan,
Segulung tahniah kami ucapkan.


Dalam kesimpulannya, penggunaan pantun oleh pengacara majlis boleh memberikan pengalaman yang lebih berkesan kepada semua yang hadir dalam majlis tersebut. Sekian.
Terbaru Lebih lama