sajak kemerdekaan

Apabila tibanya bulan ogos atau di negara kita ianya bulan sempena kemerdekaan negara kita, pelbagai aktiviti menarik akan dilakukan untuk menyambut atau memeriahkan lagi bulan kemerdekaan kita.

Salah satu aktiviti sempena kemerdekaan yang seringkali diadakan di sekolah rendah, sekolah menengah mahupun secara online ialah pertandingan deklamasi sajak. Salah satu kebaikan daripada aktiviti seperti ini ialah dapat menimbulkan atau meningkatkan lagi darah-darah patriotisme dalam diri kita sebagai rakyat Malaysia.

Marilah kita memperingati ulang tahun hari bersejarah negara kita dengan sajak kemerdekaan terbaik yang pernah dibuat oleh individu terkenal dan sasterawan negara sempena sambutan hari kebangsaan ke-65 negara kita dengan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Sajak kemerdekaan ini padat dengan makna yang tersurat dan tersirat. Ia masih relevan dan sesuai untuk kanak-kanak atau sesiapa sahaja yang cinta akan tanah air kita.

Sajak Kemerdekaan

Berikut adalah contoh sajak merdeka untuk tatapan anda semua.

Sumpah Anak Watan (Adi Badiozaman Tuah)

Kawan
buat kesekian kalinya
kita titis air mata darah
kita hembus nafas panas api

bersama bulan bintang
ke gunung kita
ke hutan bersama
kita patah duri beracun
terlalu lama menusuk daging

dan kalian di hutan
ketagih pada kibaran bendera merah
ayuh! putar haluan
kembali ke pangkal jalan

anak peribumi
kira berdegilbatu hatinya
buat kesekian kali
kita titis air mata darah
kita hembus nafas panas api
kita bakar mereka
bersama
api yang mereka nyala sendiri.

Sumpah Anak Merdeka (Serunai Faqir)

Aku anak merdeka
Bangkit dari persada luka
Berdiri megah di pentas wira
Inginku tebus maruah bangsa

Aku anak merdeka
Terjaga dari ranjang kecewa
Berpaksi gagah di panggung perkasa
Ingin ku bela nasib bangsa

Aku anak merdeka
Harapan nusa dan bangsa
Akan kutentang petualang negara
Yang tegar membuat angkara

Aku anak merdeka
Di hati semangat waja
Di dada penuh satria
Ini Tuah akan membela
Untuk kubalut luka lama

Negeri Bertuah Ini (A. Latip Talib)

Negeri bertuah ini
Tanah air tercinta
Di sini kita dilahirkan
Di sini kita dibesarkan
Di sini taat setia dicurahkan.

Negeri bertuah ini
Warisan nenek moyang
Kaya dengan budaya
Kaya dengan adat dan suku
Air setitik menjadi tasik
Tanah sekepal menjadi gunung
Rakyat dididik hidup muafakat
Bijak dijadikan panglima
Alim dijadikan imam.

Negeri bertuah ini
Pernah terjajah dan dijajah
Demi maruah bangsa dan tanah air tercinta
Rakyat bangun menentang
Darah tumpah merata.

Negeri bertuah ini
Sudah merdeka
Yang gagah tidak lagi mengunus senjata
Yang berani tidak lagi bermaharajalela
Rakyat bangun berjuang
Melawan kemiskinan
Membasmi kejahilan.

Negeri bertuah ini
Rakyat belajar berdikari
Hutan diteroka menjadi ladang
Desa dibangunkan
Bandar dimodenkan
Rakyat bersama mengecap pembangunan

Negeri bertuah ini
Tanah air tercinta
Pesan nenek moyang
Di mana bumi dipijak
Di situ jejak bertapak
Di mana tempat bernaung
Di situ taat dijunjung
Di mana darah tumpah
Di situ kasih dicurah.

Negeri bertuah ini
Negeri kita
Mari kita bangunkan
Mari kita makmurkan
Mari kita pertahankan.

Erti Sebuah Kemerdekaan (A Samad Said)

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah
pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar;
dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah,
tenang dalam segala uji cabar dan debar.
Kita mencari hanya yang tulen dan jati,
sekata hidup, mengerti dan berbudi.
 
Kita wajar mendaki lagi kerana puncak
yang jauh. Dalam gelora dan taufan
tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan
mengasuh kita bersuara dalam sopan,
yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan,
inti tonggak dan menara kebahagian.
 
Kita datang bersama anak-anak yang sedia
menyanyi – sihat, teguh, bertekad dan berani.
Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita
mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.
Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.
 
Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita;
kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti
tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah
kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu,
berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.
 
Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu;
dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga,
kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra,
wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi
kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa
sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.

Negaraku Terbilang (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi)

Tatkala aku menggagahi diri membelah kotaraya,
Aku mendongak melihat tiang-tiang seri mencecah awan,
Rasa bangga bangsa menyala-nyala di dada,
jauh sudah rupanya negaraku mengembara.

Fikiran menggugah zaman remajaku,
Zaman tiada gerbang, tiada simbol pencakar langit,
Yang ada hanya siulan burung di bendang,
Tapi disana kaya kemanusiaan,
Kaya keampunan dan kasih sayang,
Kaya tangan menghulur bantuan,
Di tengah ribuan wira tak didendang.

Di luar sempadan ada cabaran,
Dunia semakin deras bergelora,
Tidak terperangkap kite dengan kata-kata,
Yang cepat mendapat habuan luar biasa,
Yang lambat mendapat sisa-sisa,
Kita memilih sederhana daripada yang mutlak,
Pelbagai daripada yang menyendiri,
Percaya daripada mencurigai,
Bersama daripada menguasai,
Ke hadapan dengan acuan kita sendiri,
Yang diwarisi tidak berkurang,
Yang dijaga tidak susut.

Di sini di bumi ini,
Kita sulam pencakar langit dengan jernih susu kemanusiaan,
Anyamkan cita-cita Alfred Nobel dengan puisi Jalaludin Rumi
Bajai kembang kemboja keamanan pada kubur rakusnya perang,
Tiupkan serunai budaya cinta merentas sempadan,
Sambil memacak panji-panji di puncak khairuummah
Cemerlang, gemilang dan terbilang.

Pertama Dan Terakhir (A. Samad Said)

Jauh kita berjalan
mendukung semua kepercayaan
pertama dan terakhir
sekarang kita sampai
ke puncak tiada tercapai
keazaman pantang cair

Kita bersua hati
mengisi setiap janji
pertama dan terakhir
tiada hari kiranya
hingga bernanah dada
sumpah tiada termungkir

Gemuruh kita bersorak
bumi dan langit retak
pertama dan terakhir
berani kita bergerak
darah dan daging serentak
hingga ke saat akhir

padu kita berhasrat
hingga bumi kiamat
pertama dan terakhir
kuat jantung berdetak
untuk berpaling tidak
biar di gelegak air

Rela kita mengangkat
cita bangsa berdaulat
ke puncak murni berukir!


Kesimpulannya, diharap sempena bulan kemerdekaan ini kita dapat menaikkan lagi rasa cinta kita akan tanah air tercinta dan juga diharap koleksi sajak kemerdekaan ini dapat membantu anda yang sedang mencari sajak pendek sekolah rendah atau sekolah menengah. Terima kasih.