Kredibiliti AIM Dipersoal
Bila saja keputusan AIM dan RIM untuk menarik semula trofi kemenangan Yuna menerusi Lagu Terbaik AIM18 tempoh hari diumumkan, maka terdengarlah cakap-cakap daripada kalangan ahli industri, pemuzik, dan para peminat. Ya lah! First time dalam sejarah penganjuran AIM, ada trofi yang diambil semula dan diserahkan kepada orang lain.
Lagu ‘Penakut‘ yang ditabalkan sebagai penerima anugerah Lagu Terbaik AIM18 tempoh hari terpaksa dibatalkan dan diserahkan pengiktirafan itu kepada ‘Sedetik Lebih‘ ciptaan Edry Abdul Halim dan nyanyian Anuar Zain.
‘Sedetik Lebih‘ memang sesuai diangkat sebagai pemenang utama itu memandangkan lagu itu sudahpun menewaskan ‘Penakut‘ dalam kategori Lagu Pop Terbaik. Yang mana lagu-lagu balada melankolik berunsurkan R&B sebegini lazimnya menjadi pilihan juri AIM (Jerat Percintaan, Ku Mohon, Menyemai Cinta Bersamamu, Izinku Pergi).
Namun, ‘Penakut‘ yang lebih emosi dan kukuh dari segi komposisi lagu adalah satu pembaharuan dan dimensi baru dalam muzik Melayu era kini; turut dirasakan layak mengungguli anugerah utama itu.
Apa pun penjelasan yang diberikan oleh pihak penganjur, kini… semuanya sudah terlambat. Dan percayalah, perkara ini akan diungkit dan diulang-ulang kembali saban tahun setiap kali penganjuran AIM bakal diadakan. Ke mana pula letaknya kredibiliti AIM selepas ini?
Mangsa keadaan? Tentulah Anuar Zain dan Yuna. Tersepit di antara dua.





