AIM18: Gabungan Artis Baru & Lama
Sesuai dengan usianya, Anugerah Industri Muzik (AIM) sudah pun mencecah usia 18 tahun. Dah cukup matanglah kalau mahu diikutkan dengan perbandingan umur manusia ni. AIM18 yang bakal berlangsung pada November ini menyaksikan perebutan gelaran ‘Terbaik’ dikalangan para finalisnya – yang terdiri daripada artis-artis baru dan lama.
Macam biasalah, bila saja senarai finalis diumumkan, akan ada cakap-cakap serta bualan tak puas hati kedengaran. Normal lah! Ada lagu & artis yang dirasakan layak untuk tercalon, tetapi tidak berjaya disenaraikan dikalangan 5 terbaik. AIM18 menghimpukan penyertaan album & lagu (single) tempatan yang dihasilkan sedari Januari 2010 hingga Jun 2011.
Apa-apa pun, AIM18 yang bakal berlangsung tak lama lagi ni memperlihatkan gabungan antara artis senior & junior. Antara artis-artis senior yang kembali menyerikan arena muzik tanahair baru-baru ini; dan berjaya menerima pencalonan dalam AIM18 adalah (Dato’) Sheila Majid, Anuar Zain, Anita Sarawak, dan Ning Baizura.
Kategori Album Terbaik mengikut Genre Tidak Lagi Dipertandingkan
Difahamkan oleh Recording Industry Association of Malaysia (RIM), kesemua album yang dipertandingkan untuk AIM18 dinilai secara keseluruhannya dan tidak lagi dipertandingkan mengikut genre. Jika dahulu, pemenang Album Terbaik dipilih dari kalangan pemenang-pemenang album terbaik kategori (Album Pop Terbaik, Rock, Hip Hop, Pop Etnik & Nasyid), tetapi kali ini hanya 5 album yang mendapat penilaian yang tertinggi akan tercalon dalam senarai Top5, sebelum dinilai sekali lagi oleh juri-juri AIM.
Dan melihat pada perubahan itu, calon-calon Album Terbaik AIM18 kali ini datangnya daripada genre Pop semata-mata. Apa sudah jadi dengan produk-produk genre yang lain ni?
Album Terbaik
3 Suara – Jaclyn Victor, Ning Baizura, Shila Amzah
Urusan Aizat Amdan – Aizat Amdan
Sayang & Cahaya – Dayang Nurfaizah
Dewa – Ning Baizura
The MPO Celebrates 25 Years of Sheila Majid – Sheila Majid
Artis-Bukan-Kelahiran-Rancangan-Realiti Lebih Menyerlah?
Hampir tiada pencalonan untuk artis-artis kelahiran rancangan realiti TV untuk AIM kali ini, kecuali . Apakah mereka semuanya tiada kualiti? Kalau diikutkan senarai finalis, Aizat Amdan saja yang paling menyerlah, dan Aizat juga menerima pencalonan yang paling banyak untuk AIM kali ini. Berbekalkan album ‘Urusan Aizat Amdan‘, beliau menerima pencalonan bagi kategori Rakaman Album Terbaik, Kulit Album Terbaik, Album Terbaik (Urusan Aizat Amdan), manakala lagu-lagunya menerima pencalonan dalam Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Years From Now), Lagu Pop Terbaik (Sungai Lui) dan Video Muzik Terbaik (Susun Silang Kata). Pemenang Vokal Lelaki Terbaik AIM16 itu bagaimanapun tidak tersenarai dalam kategori vokal terbaik kali ini.
Berbeza dengan artis-artis baru bukan dari rancangan realiti, kebanyakkan mereka menerima double nominations dalam sesetengah kategori. Najwa menerima pencalonan berganda dalam kategori Lagu Inggeris Tempatan Terbaik. Situasi yang sama berlaku kepada Reza Salleh. Lebih menarik, kedua-dua artis ini turut disenarai pendek dalam kategori vokal dan juga kategori Artis Baru Terbaik.
Artis Kelahiran Lubnan turut tercalon
Siapa lagi kalau bukan Maher Zain?! Lagu Insha Allah versi Bahasa Melayu turut menerima pencalonan dalam satu-satunya kategori antarabagsa – Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara. Gubahan lirik oleh Frizdan, Insha Allah (versi Melayu) ini bakal bersaing dengan lagu Indahnya Cinta (Nidji), Sahabat Selamanya (Padi), Ku Menunggu (Rossa) dan Bunga Mimpi (Sandhy Sondoro).
Pemenang Baru Untuk Vokal Wanita
Disebabkan ketiadaan produk muzik oleh Dato’ Siti Nurhaliza sepanjang tahun lalu, maka tiada pencalonan untuk dirinya bagi AIM kali ini. Justeru, gelaran Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) bakal dimiliki oleh penyanyi lain. Seramai 4 orang artis bakal mengambil alih gelaran itu, dengan tumpuan lebih terfokus kepada Yuna yang menerima 2 pencalonan. Yuna dicalonkan dalam kategori ini menerusi lagu Gelora Jiwa dan Penakut.
Jadi, siapakah yang bakal diiktiraf sebagai terbaik dikalangan terbaik? Nantikan Anugerah Industri Muzik ke-18, November ini.







