Ya Nabi Salam Alayka
Maher Zain kini kembali memeriahkan Ramadhan kita dengan teredarnya video klip dan single terbarunya berjudul ‘Ya Nabi Salam Alayka‘. Setelah setahun mengedarkan single antarabangsanya (The Chosen One; Ogos 2010), ura-ura mengatakan album terbaru Maher Zain akan keluar dalam masa terdekat ini barangkali jauh tersasar. Lagu ‘Ya Nabi Salam Alayka‘ merupakan proper single keempatnya selepas ‘Palestine Will Be Free‘, ‘Insha Allah‘, dan ‘The Chosen One‘. Pun begitu, beliau turut mengedarkan single hebat ‘Insha Allah‘ dalam versi Bahasa Melayu untuk peminatnya di Malaysia awal tahun ini.
Walaupun baru saja diedarkan sebagai single, lagu ‘Ya Nabi Salam Alayka‘ ini telah diiktiraf oleh Nujoom FM, satu rangkaian stesen radio di Timur Tengah, sebagai Lagu Agama/Nasyid Terbaik untuk tahun 2009; yang mana sebagai pendatang baru dalam arena muzik ketika itu, Maher Zain menewaskan penyanyi-penyanyi nasyid unggul yang lain termasuk Hussein Al-Jismi, Mohammed Mounir, dan Sami Yusuf.
Bertulangkan bahasa Urdu, Arab dan Bahasa Inggeris, melodi lagu ini banyak dibantu oleh instrumen gendang, seruling dan strings; menjadikan epik dan emosi timur tengah itu menjadi. Liriknya? Sudah pasti memuji baginda, kekasih Allah, Nabi Muhammad s.a.w. bertepatan dengan kehadiran Ramadhan tahun ini. (Situasi yang sama ketika beliau mengedarkan lagu ‘The Chosen One’ pada Ramadhan lalu).

Lagu berdurasi 4 minit 59 saat ini boleh dipetik daripada album debutnya, Thank You Allah, yang terjual lebih 120,000 unit di Malaysia. Thank You Allah menerima anugerah 8x Platinum di Malaysia, menjadikannya album terlaris di Malaysia pada tahun 2010.
3.0 / 5.0






