Pakej IndoPek: Taruhan Terbaru Astro
Tidak gentar dengan kritikan awam mengenai kadar sesetengah saluran yang akan dinaikkan, satu sidang media telah diadakan syarikat televisyen berbayar Astro, 6 Julai yang lepas bagi memperkenalkan satu pakej istimewa untuk memantapkan lagi saluran-saluran yang sedia ada. Pakej yang bakal menayangkan drama, sinetron, filem, muzik dan yang terkini dari seberang tambak Indonesia diperkenalkan sebagai Indo Pek dengan dua saluran di dalamnya iaitu Bintang dan Pelangi, khas untuk sasaran seisi keluarga. Pakej hebat ini bernilai RM12.00 sebulan!
Sejajar dengan usaha Astro mempelbagai salurannya, Datuk Syed Ahmad Khalid, selaku Pengerusi Broadway Media Sdn Bhd, pembekal kandungan IndoPek antara lain menambah pakej IndoPek secara tidak langsung memenuhi citarasa pelanggan yang meminati sajian program dari Indonesia dan ingin menikmati lebih banyak lagi jenis rancangan daripada apa yang disajikan di saluran-saluran televisyen tempatan. Beliau turut percaya bahawa pakej tersebut mampu mendapat sambutan baik oleh penonton dan yakin pengisian rancangan akan memenuhi kehendak aliran semasa
Menerusi Saluran 142 Pelangi, penonton akan dapat disajikan dengan filem Indonesia pelbagai genre dan judul. Lebih istimewa, bukan sahaja yang terbaru, tetapi turut disertakan dengan filem-filem zaman tujuh puluhan yang mungkin pernah meniti di bibir khalayak tempatan. (Penulis mengharapkan ada disiarkan filem-filem seram lakonan pelakon Suzanna, Sundel Bolong dan beberapa filem beliau yang memerlukan beliau menjadi hantu berlubang itu)
Manakala menerusi Saluran 141 Bintang, audiens dapat berhibur dengan penayangan drama, muzik video terkini, rencah dunia hiburan Indonesia yang penuh variasi.
Antara tarikan yang bakal disajikan pada kedua-dua saluran ini adalah pertunjukan komedi Opera Van Jawa, program hiburan Insert: Informasi Selebriti selain filem blockbuster adaptasi novel islamik Ketika Cinta Bertasbih, cinta remaja Heart dan epik Laskar Pemimpi








