Suami kupas tuala wanita.
Semalam kawan terjebak dalam satu demonstrasi jualan langsung atau mungkin ala-ala MLM. Ianya mengenai tuala wanita yang sering digunakan oleh wanita ketika didatangi haid. Memang tiada kaitan dengan keperluan untuk para lelaki tetapi sekadar untuk mengetahui mengenainya, kawan pun mengambil tempat duduk.
Diberitahu bahawa bungkusan tuala wanita yang kebiasaanya mengandungi 8 keping adalah pembungkus yang mungkin terdedah apabila sudah dibuka kepada bendasing atau serangga kecil memasukinya apatah lagi menjadi kelaziman para wanita menyimpan satu atau dua keping tuala wanita di dalam tas tangan untuk keperluan mendesak atau membantu teman-teman yang memerlukan pada kadar kecemasan. Mungkin juga proses pengoksidaan yang berlaku boleh menyebabkan tuala wanita yang sedikit terdedah pada udara boleh dijadikan pembiakan bakteria walaupun pada mata kasar kita ianya kelihatan putih, suci lagi bersih.
Apabila tuala wanita yang telah terdedah pada pembiakan bakteria , ini dikhuatiri akan mendapat jangkitan penyakit atau kerengsaan atau keradangan dan kegatalan kulit malah boleh menyebabkan kanser rahim kepada si pemakai. Seperkara yang mungkin para wanita terlepas pandang adalah berkenaan perekat atau gam yang digunakan di bahagian luar tuala wanita untuk melekatkan tuala wanita pada bahagian dalam seluar dalam wanita itu juga boleh mendatangkan kesan sampingan pada kulit kerana perekat atau gam itu tidak mudah hilang dengan cucian biasa.
Kebiasaanya, para pengeluar atau pengedar tuala wanita hanya menumpukan daya serapan cecair yang mampu diserap oleh tuala wanita itu. Secara logiknya, lebih tebal sesuatu penyerap itu maka lebih banyaklah serapan yang mampu diserapnya. Tetapi dari segi keselesaan para pemakai, pengeluar telah mencipta tuala wanita yang lebih nipis untuk keselesaan namun mempunyai daya serapan yang lebih tinggi. Namun apabila 40 mililiter cecair (dikatakan jumlah yang hampir sama darah haid yang keluar) dituang pada tuala wanita sememangnya tuala wanita itu mampu menyerap cecair itu tetapi apabila kita menyentuh di bahagian luar bahan penyerap itu, kita akan merasai kelembapan.
Kelembapan ini adalah menjadi punca utama untuk bakteria untuk membiak. Diberitahu bahawa bahan yang digunakan untuk menyerap cecair ini hanyalah dari bahan dari kertas kitar semula. Di mana proses pengitaran semula kertas-kertas itu melibatkan penggunaan bahan kimia yang banyak kuantitinya untuk menghilangkan bau, kotoran atau cetakan pada kertas-kertas itu. Dibuktikan bahawa lapisan bahan penyerap ini di masukkan ke dalam segelas iar lalu di kacau lembut, bahan yang digunakan sebagai penyerap cecair pada tuala wanita ini akan hancur luluh.
Penggunaan kertas kitar semula sebagai bahan penyerap dalam tuala wanita ini pastinya untuk mengurangkan kos pengeluaran dan sebagai langkah untuk menyelamatkan bumi sebagaimana kita maklum tentang kempen kitar semula. Pelapik yang digunakan untuk menyalut bahan serapan ini dikatakan tidak mampu ‘bernafas’ yakni pelapik itu kedap udara atau laluan sehala yang boleh membuatkan kelembapan pada tuala wanita berpanjangan sehingga ditukar baru.
Kesimpulannya, dikatakanlah bahawa semua jenis tuala wanita yang ada di pasaran sekarang adalah tidak begitu sihat kerana mampu memberi kesan sampingan atau jangkitan bakteria pada si pemakai. Oleh kerana ini adalah demontrasi jualan langsung maka pastinya kelebihan akan dimutlakkan pada produk yang hendak dijual!
Kawan bukan hendak mempromosikan jualan langsung. Apa yang buat kawan terfikir cuma keterangan yang dilontarkan. Benarkah begitu? Kerana dikatakan jangkitan itu berlaku amat perlahan tanpa kita sedari malahan diadukkan lagi dengan faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan seorang wanita itu dihinggapi penyakit puan.
Walauapapun, kawan akui kebaikan dan kelebihan penggunaan ‘ionizer’ dalam kehidupan kita. Masakan tidak pengeluar penghawa dingin atau peti sejuk berlumba-lumba mengaplikasikan teknologi untuk mengionkan udara persekitaran dalam rumah malahan di dalam kereta kita sendiri.
Apa yang kawan ragukan, adakala taktik yang mereka gunakan adalah seperti menggunakan produk atau bahan yang terbaik hanya untuk sesi demostrasi sebagai menyakinkan bakal pembeli atau bakal peserta. Namun apabila sudah kita menggunakannya, indah khabar dari rupa.










