van

Hot Mama!

Jam 10:00 pagi kawan berbincang dengan pemandu untuk menyewa kereta sewa (van) untuk bersiar-siar sekitar Bandaraya Kuching. Selain tawar-menawar mengenai harga kami juga bertukar-tukar pendapat  tentang tempat-tempat yang sebaiknya kami lawati secara langsung menggunakan secara maksimum penyewaan kereta sewa sehingga pukul 4:00 petang dengan harga RM120.00. Memandangkan tempat yang paling jauh akan kami lawati adalah Pusat Hidupan Liar Semenggoh apabila perancangan untuk memasuki Kampung Budaya di Santubong kami batalkan oleh kerana faktor cuaca yang mendung dan dikhuatiri hujan. Atas unjuran pemandu kami bersetuju untuk ke Semenggoh dan berharap kami sempat tiba sebelum waktu makan tamat.

Tiba di pintu masuk Pusat Hidupan Liar, pemandu meminta kami yang seramai 8 orang sejumlah wang bernilai RM20.00 untuk membeli tiket masuk yang sepatutnya bayaran dikenakan sebanyak RM3.00 seorang untuk dewasa. Kami dipandu masuk dan diturunkan di sebuah medan letak kereta dan kami pun menuruni bukit. Malang bagi kami, waktu makan telah pun tamat. Kami sekumpulan hanya melihat-lihat kawasan sekeliling dan mengunjungi galeri mengenai Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Faham mengenai kehampaan kami, pemandu menasihatkan kami mengunjungi tempat lain seperti kedai cenderamata, kilang membuat pasu dan bergambar bersama patung Kuching yang menjadi lambang Bandaraya Kuching di Sarawak.

Jam 2:30 petang kami tiba semula di Pusat Hidupan Liar Semenggoh. Kami memasuki menggunakan tiket yang dibeli awal tadi. Waktu makan akan bermula sebentar lagi, kelihatan ramai pelancong domestik dan beberapa pelancong asing berkumpul di hadapan pintu masuk denai menuju ke dalam hutan. Beberapa minit kemudian,  seorang pegawai renjer meminta kami berkumpul dan memberi serba-sedikit taklimat tentang apa yang dibenarkan kami lakukan dan sebaliknya sewaktu memberi makan pada Orang Utan. Kemudian kami diketuai seorang pegawai renjer yang lain untuk berjalan masuk ke dalam hutan.

Dalam 5 minit perjalanan, kami tiba di satu kawasan dan melihat beberapa Orang Utan sedang menuruni dari pokok-pokok untuk mendapatkan makanan seperti buah-buahan tempatan seperti biasanya sebagai diet mereka. Dalam beberapa sela masa, makin banyak Orang Utan muncul dari perut hutan. Bergayut dari satu pokok ke satu pokok yang lain. Mencapai makanan lalu naik semula bergayut di atas pokok sambil memerhati kami di tanah.

Selepas 20 minit kami hanya memerhati perlakuan beberapa Orang Utan dengan senyap, seorang pegawai renjer memberitahu bahawa Orang Utan yang bergelar Hot Mama berada di luar, di tempat kami berkumpul mendengar taklimat sebentar tadi. Ramai antara kami yang bergegas dan berjalan menuruni denai untuk menyaksikan Hot Mama.

Hot Mama bersama anaknya, Induk berumur 2 tahun.

Nama yang diberi adalah Delima namun para renjer menggelarkannya Hot Mama bukan kerana ianya seksi tetapi sikapnya yang mudah baran. Hot Mama tidak suka lampu denyar kamera di mukanya, tidak gemar mendengar kanak-kanak yang menjerit atau menangis dan tidak suka manusia menghampirinya walaupun para renjer. Sebahagian besar taklimat sebelum ini adalah amaran tentang Hot Mama selain beberapa info mengenai kehidupan Orang Utan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh.

Orang Utan di sini dibiarkan lepas bebas ke dalam hutan yang sememangnya habitatnya. Hanya akan muncul pada waktu makan di kawasan yang disediakan apabila di seru oleh para renjer. Ketika kehadiran musim buah, kebarangkalian untuk Orang Utan ini untuk muncul di adalah kecil kerana kemungkinan mereka sudah kenyang melahap buah-buahan segar yang masak di atas pokok. Namun sekiranya ada Orang Utan lain yang tidak hadir, Orang Utan akan mengambil dan membawa untuk ahli keluarganya yang lain.

Terdapat 26 Orang Utan di habitat ini dan yang paling tua adalah Seduku, nenek yang lahir pada tahun 1971 dan Ritchie merupakan jantan dominan. Diketahui bahawa spesis Orang Utan adalah dilindungi dan lima Orang Utan di sini merupakan hidupan liar manakala yang lain dilahirkan di pusat perlindungan ini. Terdapat hanya 2 spesis Orang Utan iaitu Borneo dan Sumatra dan spesis Borneo hanya di dapati di Sarawak dan Sabah (Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, Sandakan).

 

 

 

Leave a Comment

CommentLuv badge