Tips Bercuti Bersama Anak Kecil
Bagi keluarga yang mempunyai anak kecil, pastinya agak leceh untuk membawa anak-anak bercuti. Maklumlah karenah anak-anak kecil pastinya lebih banyak memeningkan kepala. Walau bagaimanapun, ia bukan alasan untuk melupakan masa-masa yang indah bersama keluarga. Percutian jauh dari tempat tinggal kita lebih memberi kesan ‘relaks’ berbanding hanya ‘bercuti’ dengan berehat di rumah. Pemandangan yang lain, kepenatan yang baru, pasti lebih memberi kepuasan.
Saya sendiri pernah membawa anak-anak ke UK, ketika mereka berumur setahun setengah dah 2 tahun setengah, dan baru pulang dari bercuti di Pulau Pinang.
Sedikit perkongsian tips dari saya untuk menikmati percutian yang menyeronokkan bersama keluarga tersayang:
1. Pastikan cukup tabungan. Berlebih lagi bagus
Bercuti bersama anak-anak menuntut lebih banyak keperluan kewangan daripada bercuti seorang diri atau berdua saja. Kita mungkin boleh bertoleransi atas beberapa perkara, namun untuk anak-anak kecil, ada perkara yang mereka tidak boleh bertoleransi. Misalnya jika berlaku kecemasan, contohnya anak sakit, maka kita perlu menghantarnya ke hospital, meskipun berada di mana saja pun. Bagi memudahkan dan memberi ketenangan hati, pastikan tabungan bukan ‘cukup-cukup’, tapi ada juga bahagian untuk kecemasan.
2. Jika perlu, bawa pembantu
Di sini juga pentingnya perkara no (1) di atas. Jika anak lebih dari 2 orang, mungkin memerlukan pembantu bagi melancarkan perjalanan. Pembantu boleh jadi ibu, ayah, adik, kakak, dan sebagainya.
3. Bawa kelengkapan untuk babywearing
Biasanya jika melancong, terutama ke luar negara, kita akan lebih banyak berjalan. Jadi, menggunakan babywearing (gendong bayi) adalah lebih baik dan memudahkan dari menggunakan kereta sorong ataupun hanya mendokong dengan tangan. Babywearing juga mempercepatkan langkah kita dan anak akan sentiasa berasa selamat berada rapat dengan kita.
4. Bawa keperluan bayi seringkas tapi selengkap mungkin
Saya agak bertuah kerana saya menyusukan bayi saya, jadi tidak perlu membawa tin susu ke mana-mana. Namun bagi mereka yang tidak menyusukan anak, pastikan membawa tin susu dan lain-lain kelengkapan, terutamanya makanan.. lebih-lebih lagi jika anda bercuti ke luar negara. Mungkin anda akan hadapi kesukaran untuk mencari makanan bayi yang halal di sana, jadi bawa siap-siap dari Malaysia. Jangan lupa bawa ubat sekali.
5. Sewa kenderaan yang lebih selesa jika perlu
Bagi percutian dalam negara, sekiranya anda ingin memandu, dan jika kenderaan anda tidak cukup besar, sewalah kenderaan yang lebih besar dan selesa, misalnya MPV. Kenderaan yang besar pasti selesa untuk keluarga yang beranak kecil, kerana anak-anak akan restless dalam perjalanan. Ruang yang lebih besar boleh membantu menenangkan mereka.
6. Enjoy
Pekara yang paling penting ketika bercuti bersama anak-anak kecil ialah ENJOY. Walaupun anak menangis, anak buat perangai, anak demam dan sebagainya, raikan dengan hati terbuka. Jangan diikutkan stress hati, walaupun biasanya kita stress dengan keadaan itu. Inilah masa untuk melupakan semua masalah yang biasa kita lalui.
Jangan hilang keseronokan bercuti walaupun beranak kecil. Pasti lebih seronok bila bercuti bersama anak-anak. Melihat gelagat mereka yang selama ini memeningkan kepala, sewaktu bercuti, kita lupakan semua itu. Berseronoklah bersama mereka.
Selamat bercuti!







