Kuwarnai salji hitam..
Kuwarnai salji hitam..
kerana kami takut
pada hari-hari menjelang.
Kawan tidak berapa pasti apakah kesusahan yang paling susah kawan alami. Sebab bagi kawan hampir setiap kesusahan atau masalah yang dihadapi ada cara penyelesaiannya. Adakala ahli keluarga atau rakan sekeliling boleh membantu kawan untuk keluar dan menyelesaikan masalah kawan. Kebiasaan bagi seorang lelaki, punca kesusahan baginya adalah wang dan perempuan.
Di Malaysia, apakah kesusahan yang dihadapi oleh kita selain masalah yang kita sendiri cipta dan bencana alam. Waktu makan tengahari adakalanya kita berlegar-legar di hadapan lauk yang terhidang untuk kita senduk ke pinggan. Kita mesti membuat keputusan lauk apa yang hendak dijamah hari ini kerana terlalu banyak pilihan. Waktu kita bermundar-mandir di pasar Ramadhan mencari juadah berbuka puasa juga begitu. Tiada kerisauan lain hanyalah untuk mencari makanan dan minuman yang menyelerakan untuk berbuka puasa. Harga pastinya tiada masalah jika selera menginginkan.
Kalian bersandarlah sebentar, fikirkan apakah kesusahan yang paling teruk kita alami? Mungkin terukir senyuman megenangkan kelucuannya. Kita masih sihat sekurang-kurangnya untuk hidup di zaman serba canggih ini. Benar?
Jika benar kalian sihat dan lapang waktu dan tidak punya kesusahan ketika ini, apa kata kita bawa diri kita untuk mengenali keazaban saudara Islam kita di Palestin.
Buku ‘Rakyat Palestin Bersuara’ umpama secubit roti yang kita lemparkan ke dalam tasik memberi ikan-ikan Koi makan. Sedangkan tasik yang luas dan dalam itu mengandungi pelbagai ceritanya tersendiri.
Kem Tal Al-Za’atar pada tahun 1977
Kem Tal Al-Za’atar telah dikepung sehingga 90 hari lamanya dan ditawan. Dengan hanya sekelumit makanan menjadi bekalan, diet adakalanya bertukar menjadikan kucing dan anjing menjadi penyambung nyawa. Air adalah masalah yang paling runcing. Hanya untuk mendapatkan air, risiko ditembak oleh penembak curi amat besar. Perigi air yang terletak di hujung kem, sebuah kawasan terdedah umpama perangkap maut dan penembak curi anggota Kata’ib (Phalange) berada merata-rata tempat. Mereka juga menganggap air itu lebih penting daripada nyawa mereka sendiri!
Adalah menjadi biasa untuk meminum air yang bercampur darah kerana adakalanya ada yang ditembak lalu jatuh ke dalam perigi. Ditarik keluar mangsa oleh rakan dan air diambil lalu berlari pergi.
Bila berlakunya gencatan senjata (kononnya), mereka akan duduk di tangga-tangga hadapan rumah menikmati keindahan hari, bersantai dan bercerita. Namun dengan tidak semena-mena bedilan bom bertalu-talu mengorbankan mereka dalam sekelip mata. Letupan bom tangan, bedilan mortar dan tembakan dari senjata berat berlaku setiap masa, setiap hari.
Pembunuhan beramai-ramai Sabra-Shatila.

Pembunuhan beramai-ramai di Deir Yassin pada April 9-10, 1948 menjadi ilham untuk pembersihan dan penyucian kem pelarian Sabra dan Shatila pada September 16-18, 1982. 48 jam, hanya dalam waktu itu kem ini menjadi neraka bagi para pelarian Palestin. Penyembelihan manusia berlaku sewenang-wenangnya oleh askar-askar khas Israel yang sememangnya khusus dan mahir dalam operasi pembunuhan beramai-ramai. Mangsa bukan sahaja ditembak mati malahan mereka dikelar di leher, dirabakkan isi perut tanpa sesiapa pun dikecualikan baik wanita dan kanak-kanak diseksa, dirogol dan dibunuh.

Digalinya sebuah parit yang amat besar lalu dihumbankan sahaja beratus-ratus mayat menggunakan jentolak ke dalam parit besar itu. Diranapkan dan diruntuhkan rumah-rumah mengkambuskan mayat mangsa dalam runtuhan.
Ketika buku ini ditulis pada tahun 2000, mayat-mayat mangsa Sabra dan Shatila masih belum dikeluarkan dari runtuhan rumah dan tidak dikebumikan dengan sempurna tanpa batu nisan untuk mengingatkan jenayah tidak berperikemanusiaan ini ke seluruh dunia.
Ketika kejahatan datang bertalu-talu bak hujan yang turun, tiada siapa pun berteriak, “Hentikan!”
Ketika kezaliman yang bertimbun tidak dapat lagi dilihat.
Ketika penderitaan tidak ditahan, jeritan tidak lagi didengari.
Jeritan juga kan gugur bagaikan hujan musim panas.
Bertolt Brecht
Poems in Exile, 1934-36
Souad Srour Merii, 29 tahun yang dilahirkan di Shatila antara mangsa yang terselamat, menceritakan;
Jam 4:30 pagi 17 September, 13 orang lelaki bersenjata datang ke rumah. Ayah saya yang tua ditumbuk dan dibelasah sementara yang lain menggeledah mengambil apa sahaja barangan berharga dan wang tunai bahkan cincin perkahwinan bapa saya. Kemudian askar-askar Israel ini mengarahkan kami ke dalam bilik, berdiri dekat dinding dengan tangan kami terangkat di atas kepala dan membelakangi mereka. Mereka mula menembak!
Adik bongsu saya, seorang bayi ditembak di kepala dan otaknya memercik ke atas kami. Bapa ditembak di jantung tetapi masih bernyawa. Adik-adik lelaki saya, Shadi 3 tahun, Farid 8 tahun, Bassam 11 tahun, dan adik perempuan saya Hajar 7 tahun dan Shadia serta jiran saya mati serta-merta!
Adik lelaki saya, Maher 12 tahun dan Ismail 9 tahun, terselamat kerana mereka menyorok di dalam bilik air. Ibu dan dan adik perempuan saya, Nuhad 16 tahun, cedera. Manakala saya lumpuh serta-merta tidak dapat bergerak. Apabila askar-askar itu berfikir bahawa semuanya sudah mati, mereka berlalu pergi.
Mendung tidak berarak pergi. Esoknya pada pukul 10:00 pagi tiga anggota militia datang kembali kerana mengambil wang yang tertinggal. Mereka melihat saya bergerak menghampiri bapa yang cedera lalu saya dimaki dengan nista dan kata-kata lucah. Mereka bergilir-gilir merogol saya di hadapan bapa saya. Akhirnya bapa menghembuskan nafas terakhirnya kerana tidak sanggup menahan apa yang disaksikan pada saya. Sedangkan saya ketika itu belum lagi didatangi haid. Mereka menembak tangan kiri saya dan berlalu pergi.
Sebahagian deretan sel di dalam Penjara Khiam.
Ini hanya sebahagian penderitaan dan keazaban yang mereka lalui. Sengsara derita mereka ketika tercetusnya Perang Kem atau penculikkan atau penahanan tanpa bicara orang Palestin oleh anggota militia kemudian dibawa ke Penjara Khiam untuk diseksa dan dizalimi. Di mana dua puluh lima banduan ditempatkan dalam kurungan bersaiz 15 meter persegi. Sel yang terlalu kecil sehinggakan mereka tidak boleh berbaring.
Kawan fikir, andai kawan berada dalam keadaan sebegini. Nyawa kawan sudah melayang dari badan. Pisau kecil yang terhiris jari pun boleh buat kawan mengaduh sakit dan cemas mencari pembalut luka. Tidak mampu kawan bayangkan kerana kawan tidak pernah menghadapi kesengsaraan sebegini di bumi. Apa yang kawan dapat dari buku ini adalah cebisan pengalaman dari pembacaan dan pengetahuan, betapa derita pelarian Palestin yang merindui bumi Palestin.
Buku ini disunting oleh Alijah Gordon berdasarkan keterangan yang diberikan kepada Noor Khairiyati Mohd Ali dan diterjemahkan oleh Shamsiah Md. Said. Cetakan pertama 2003. Karya terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia.








Sangat kagum dengan keberanian dan ketabahan mereka. Semangat perjuangan yang tak pernah padam. Lalu terfikir, mana letaknya kita? Sekadar suara, atau usaha.