Yuna – Decorate
“Ku Lalui Semua Dengan Senyuman Di Wajahku!”
Barangkali bait-bait kata dan lirik ini yang akan melekat dan segar dalam ingatan para pendengar apabila selesai menikmati juadah baru Yuna; Decorate. Ya! Petikan lirik dari lagu ‘Super Something‘ yang menjadi lagu tema untuk satu iklan tuala wanita. Siapa sangka dalam keayuan dan kelembutan wajahnya, Yuna mampu menghasilkan satu produk pop rock yang bersahaja.
Decorate, yang mula dijual kepada umum pada Julai lalu mula mendapat perhatian peminat muzik tempatan; indie & mainstream. Sejak menggondol 4 anugerah di AIM 17 Mei lalu, tulisan mengenai Yuna mula menghiasi dada-dada akhbar. Masing-masing ingin tahu akan peribadi yang dimilikinya. Dan bagi mereka yang mahu mengenali Yuna dengan lebih dekat, apa kata anda dapatkan album Decorate, sebagai satu cara memahami “Gadis Semasa” berusia 24 tahun ini.
Menggambarkan kenaifan, seorang gadis yang tidak tahu melunaskan ‘kehendak’ lelaki, lagu ini sememangnya membuatkan pendengar berfikir sejenak pabila liriknya diamati. Satu cemuhan antara kejujuran, dan sudah tentu.. Ego. “These Streets” dan “Penakut” merupakan lagu yang paling ‘bijak’ dalam album ini, dengan keupayaan Yuna mengawal emosi menerusi alunan vokal yang mantap. Nikmati juga keindahan “Fireworks” pada bila-bila masa. Sebelum pendengar terbang dan hilang bersama “Rocket“.
Dalam pada menikmati muzik Yuna, “Random Awesome” dan “Permission” yang sememangnya hebat turut kedengaran. Para pendengar kemudiannya hanyut dalam permainan vokal penuh beremosi Yuna menerusi “Cinta Sempurna“. Dirakam dan diadun baik dengan instrumen piano dan strings, lagu ini mampu menegakkan bulu roma segelintir pendengar. Mungkinkah Yuna mampu merangkul (sekali lagi) anugerah Lagu Pop Terbaik AIM menerusi lagu ini? Seterusnya menyambung kejayaan “Dan Sebenarnya” tahun lalu…?

“Decorate” yang berdurasi pendek kemudiannya mengakhiri produk terbaru Yuna….
…untuk seketika, sebelum munculnya lagu hebat “Super Something“.
Keseluruhannya, Decorate merupakan salah satu produk pop dan album bahasa Inggeris tempatan terbaik yang dihasilkan tahun ini. Vokal Yuna dalam album ini juga diperakui hebat, justeru menimbulkan satu anggapan bahawa Yuna barangkali akan menjadi perhatian (sekali lagi) dalam arena muzik tempatan.
Rate : 83% (Good)
Recommended : These Streets, Penakut, Cinta Sempurna






